Saturday, July 09, 2011

Falsafah Pendidikan

HUBUNGKAITKAN CIRI-CIRI GURU YANG TERNYATA PADA FPG DALAM USAHA MEREALISASIKAN OBJEKTIF FPK
Semasa menjalankan PBS, kami telah diberi tugasan untuk menemuramah sekurang-kurangnya 3 orang guru yang telah berpengalaman selama 10 tahun dalam profesion perguruan. Saya dan rakan-rakan yang lain telah menjalankan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Bukit Perah, Kuala Berang, Terengganu. Responden yang telah kami temuramah terdiri daripada Guru Besar, Guru Penolong Kanan 1 dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Melalui temubual yang telah dijalankan di sekolah semasa PBS, saya dapati sebahagian guru masih belum lagi dan tidak sedar akan kepentingan FPG. Namun begitu, para guru di sekolah tersebut tetap mengaplikasikan konsep FPK dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Dalam elemen FPG, perkara utama yang dititikberatkan adalah seorang guru mestilah berpekerti mulia. Berpekerti mulia di sini bermaksud guru tersebut perlu menunjukkan sahsiah yang baik seperti berbudi bahasa, bersopan, berdisiplin, bermoral dan sebagainya. Hal ini disebabkan, seorang guru adalah rol model kepada murid-muridnya. Secara puratanya, tingkahlaku seorang guru yang baik akan mempengaruhi tingkah laku empat puluh orang murid yang diajar olehnya.
Cuba anda bayangkan, jika seorang guru tidak menunjukkan sahsiah yang baik seperti datang lewat ke sekolah atau kelas, maka secara tidak langsung murid-muridnya akan mengikuti apa yang dilakukan oleh guru mereka iaitu mereka turut datang lewat ke sekolah. Alasan mereka tentu sahaja guru mereka pun datang lewat ke sekolah juga. Oleh yang sedemikian, dalam mendidik murid-murid menjadi seorang yang berpekerti mulia juga, guru perlu membuka langkah awal dahulu iaitu menjadikan dirinya seorang yang berpekerti mulia dulu.
Selain daripada itu, ciri-ciri seorang guru juga ialah berpandangan progresif dan saintifik. Ini bermaksud, mereka perlu berkembang mengikut peredaran zaman (up to date) yang kini memberi penekanan kepada sains dan teknologi. Seperti yang dilakukan di SK Bukit Perah, semua murid-murid Tahun 5 diberikan komputer riba e-book untuk mereka gunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Dengan pemberian e-book ini, pengajaran dan pembelajaran murid-murid adalah hanya menggunakan e-book tersebut. Selain itu, penggunaan e-book ini untuk mengurangkan murid-murid membawa buku dalam jumlah yang banyak juga. Untuk subjek sains dan matematik pula, penggunaan LCD dilakukan untuk memudahkan murid-murid lebih memahami tentang tajuk yang dipelajari mereka.
Oleh kerana kurangnya alat bantu mengajar di sekolah tersebut, maka penggunaan LCD ini amat penting supaya tidak mengganggu guru untuk meneruskan proses P&P mereka. Selain itu, murid-murid akan berasa lebih teruja apabila dipaparkan nota dalam bentuk grafik dan gambar yang bergerak. Guru perlu berusaha agar tidak ketinggalan dari segi profesional. Peranan Guru Besar amat penting di sini iaitu beliau perlulah menghantar guru-guru khususnya yang mengajar subjek Sains dan Matematik ini pergi ke kursus-kursus yang berkaitan tentang sains dan teknologi.
Seterusnya guru juga bersedia menjunjung aspirasi negara iaitu menghayati aspirasi negara yang dihasratkan oleh kerajaan dalam mencapai dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan negara kita. Seorang guru perlu berusaha secara maksimum ke arah pencapaian aspirasi negara. Guru yang dapat menerapkan dan mengaplikasikan segala yang terdapat dalam FPK akan dapat merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan modal insan yang berketerampilan yang dapat menempuh era globalisasi dengan jayanya. Jika semua guru bersama-sama berganding bahu menjunjung aspirasi negara ini, tidak mustahil golongan anak bangsa kita akan setanding dengan luar negara. Secara tidak langsung akan melahirkan rakyat Malaysia yang berkebolehan untuk menjalankan tugas dengan sempurna dan mempunyai kecekapan serat kompetensi diri yang baik.
Selain itu, rakyat Malaysia yang berpandangan jauh dan berinisiatif yang berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita dapat dilahirkan. Guru yang ditemubual oleh saya mengatakan setiap guru di sekolah dikehendaki menghayati aspirasi negara sebagai panduan atau objektif dalam setiap pelaksanaan aktiviti sekolah seperti sukan tahunan sekolah.
            Elemen dalam FPG yang seterusnya adalah menyanjung warisan kebudayaan negara. Perkara menyanjung warisan kebudayaan negara ini bukanlah perkara yang remeh dan tidak perlu diambil berat oleh guru kepada murid-muridnya. Malah hal inilah yang penting agar warisan tidak ditelan dek zaman masa kini yang semakin maju dan menghanyutkan murid-murid sekarang seperti media massa sekarang iaitu laman sosial di internet seperti Facebook, Twitter dan Friendster. Jika guru abaikan perkara ini, tidak mustahil pemikiran anak bangsa yang akan datang ini akan terjejas dengan pemikiran luar. Oleh sebab itu, guru perlu mengajak murid-murid untuk menghayati warisan kebudayaan negara yang unik ini seperti Batu Bersurat yang terdapat di Kuala Berang, Terengganu yang mana menunjukkan agama Islam iaitu agama rasmi negara kita (kini) telah mula bertapak di Terengganu. Melalui warisan ini, guru perlu memupuk sifat bangga kepada murid-murid terhadap kepelbagaian budaya dalam kalangan murid. Kesimpulannya, dengan menerapkan unsur kebudayaan ini semasa P&P akan menyemai sifat patriotisme dan cintakan negara.
            Selain daripada itu, guru perlu mempunyai sifat untuk menjamin perkembangan individu bukan sahaja dari segi pelajaran mereka tetapi secara menyeluruh iaitu perkembangan dari aspek emosi, rohani, jasmani dan intelek. Sebagai contoh ialah gerak kerja ko-kurikulum yang mana merupakan gerak kerja bercorak pendidikan yang dijalankan di dalam dan di luar waktu sekolah. Gerak kerja ko-kurikulum berasaskan pembelajaran di bilik darjah adalah kesinambungan kurikulum yang dilaksanakan di sekolah. Gerak kerja ko-kurikulum yang dilaksanakan di sekolah ini akan menyemai sifat-sifat kepemimpinan, kerjasama, tolong-menolong dan sedia berkhidmat dalam kalangan murid. Aktiviti ko-kurikulum juga perlu dirancang supaya semua murid mempunyai perseimbangan antara perkembangan mental dengan perkembangan sosial, jasmani dan rohani. Pelaksanaan ko-kurikulum cuba melihat minat dan bakat murid-murid. Melalui kegiatan kumpulan, semua murid boleh dididik dan mendidik diri sendiri.


Elemen FPG yang terakhir ialah guru perlu memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Guru merupakan individu yang rapat dengan murid. Oleh itu, dengan pengenalan KBSR dan KBSM di negara kita, peranan guru di sekolah juga bertambah lebih kompleks. guru mula memainkan peranan sebagai pengajar, pengurus, fasilitator, pembimbing, penggalak, penyelaras dan juga sebagai inovator, iaitu orang yang mendatangkan pembaharuan. Tanggungjawab guru inilah yang menyumbang kepada pembangunan negara kita. Anda pernah membaca sajak ‘Guru’ yang dikarang oleh Usman Awang? Daripada penulisan sajak beliau tersebut menunjukkan tanpa seorang guru maka tiadalah pemimpin, doktor, peguam dan sebagainya. Oleh yang sedemikian, guru perlulah berusaha dan sentiasa memikirkan cara baru agar dapat mendidik murid menjadi insan yang berguna pada suatu hari nanti.
Dalam konteks pendidikan, sekolah merupakan institusi yang penting dalam membentuk disiplin murid-murid. Masalah disiplin murid akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Masalah disiplin ini seharusnya dikawal dengan kerjasama warga sekolah iaitu guru besar, guru disiplin, guru, pengawal keselamatan, masyarakat sekitar sekolah dan ibu bapa. Hal ini penting supaya proses P&P berjalan dangan lancar. Pihak sekolah melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh menubuhkan sebuah jawatankuasa menangani gejala disiplin murid peringkat sekolah dengan melantik beberapa ahli terdiri daripada kalangan mereka yang tinggal berhampiran dengan sekolah bagi memantau disiplin murid.
Ringkasnya, guru memikul amanah yang amat besar untuk melahirkan insan berilmu dan bersahsiah tinggi dan berperanan untuk merealisasikan matlamat kenegaraan yang akan menentukan jatuh bangun bangsa dan negara di masa hadapan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

my followers